Pathmanabhan berkata, dia tiada motif membunuh Sosilawati dan menafikan membunuh mangsa kerana meminjam wang daripadanya.
Disoal peguamnya, Manjeet Singh Dhillon, Pathmanabhan mengakui mengenali Sosilawati pada awal 2008, dalam pertemuan di Hotel Pan Pacific Sepang, diatur ADUN Dengkil, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan pembantunya, Datuk Sabari Misran, berhubung pembelian tiga lot tanah di Batu Feringgi Pulau Pinang, milik ahli perniagaan dari Chennai, India, A Muthuraja.
Pathmanabhan berkata, Sosilawati melalui syarikatnya, Southern Symphony Sdn Bhd, membeli hartanah itu dengan harga RM25 juta daripada Muthuraja awal 2008.
Katanya, pada November 2008, Sosilawati merancang menjual tanah itu pada harga RM29 juta kepada Ample Quality Sdn Bhd, yang mana ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, adalah seorang ahli lembaga pengarahnya.
“Sosilawati menerima deposit RM2.9 juta tetapi pada Ogos 2010 Sosilawati mendapat tahu Abdul Rahman merancang menjual tanah itu kepada pihak lain pada harga RM200 juta.
“Sosilawati mengarahkan saya mencari pembeli baru dan membuat perjanjian jual beli baru pada harga RM150 juta. Bagaimana Southern Symphony hendak menjual tanah itu kepada pihak lain, sedangkan ia sudah dijual kepada Ample Quality,” katanya.
Pathmanabhan berkata, pada Ogos 2010, dia menerima panggilan telefon daripada Sabari memaklumkan ada perjumpaan antara Sosilawati dan Abdul Rahman serta memintanya hadir pada 28 Ogos tetapi dia tidak dapat hadir.
“Pada jam 11,12 malam, 30 Ogos 2010, Sabari hubungi saya dan memarahi saya kenapa tidak hadir perjumpaan kedua mereka. Dia cakap berlaku perbalahan antara Abdul Rahman dan Sosilawati,” katanya.
Pathmanbhan berkata, pada 2 September 2010, dia menelefon Sabari bagi memaklumkan panggilan telefon bekas suami Sosilawati, Buhari Mohamed, berhubung kehilangan wanita itu dan bertanya jika dia menemui Sosilawati yang ke ladangnya pada petang 30 Ogos.
“Sabari menyoal sama ada saya ada menyebut nama Abdul Rahman Palil, saya jawab tidak. Sabari beritahu Abdul Rahman akan selesaikannya dengan Sosilawati dan saya tidak perlu risau,” katanya.
Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, 20; R Matan, 21; dan K Kathavarayan, 31; dituduh membunuh Sosilawati, 47; pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Semua tertuduh didakwa membunuh semua mangsa di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan