Sejak tarikh itu, anak kelahiran Taiping, Perak itu tidak menoleh ke belakang lagi malah berbangga dan bersyukur kerana cita-cita untuk menyarung uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya tercapai jua.
Walaupun berpeluang untuk menjadi seorang pendidik, namun Rizal masih mencari-cari sesuatu yang lebih mencabar sekali gus menyumbang bakti terhadap masyarakat.
Malah keputusan untuk beralih bidang kerjaya itu dibuat dengan mudah kerana minat yang mendalam untuk berkhidmat bersama pasukan Sang Saka Biru telah bermula sejak kecil lagi.
Tambahan pula, bapa Rizal, Abdul Rahman Sidek Ahmad, 62, merupakan seorang pesara polis yang banyak memberi galakan dan sokongan untuk menyambung bakti dalam bidang yang sama.
Disember 2005, wartawan Utusan Malaysia, Suffian Abu Bakar pernah mencoret di sebalik tabir kehidupan Abdul Rahman yang ketika itu menjawat Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
Ketika itu, bapa dan anak ini pernah berkongsi pangkat ASP dan bidang tugas di jabatan yang sama iaitu Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) sebagai pegawai trafik di cawangan masing-masing.
Abdul Rahman, 62, kemudian bersara pada 2006 manakala Rizal, 37, kini bertugas sebagai Pegawai Penerangan Akhbar Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Bukit Aman.
"Bapa saya menerapkan sikap tanggungjawab dan disiplin yang diamalkannya dalam mendidik anak-anak sehingga berjaya menarik minat saya untuk mengikut langkah yang sama.
"Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kerana jasa kedua ibu bapa telah menjadikan saya dan adik-adik, manusia yang berguna seperti hari ini.
"Sebenarnya saya menyertai polis kerana mahu lebih dekat dengan masyarakat," katanya yang menceritakan pernah menangis melihat mayat seorang bayi yang dibuang dalam keadaan menyayat hati di dalam masjid di Johor Bharu, 2002.
Pemegang dua diploma iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Diploma Sains Pengurusan, Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Ijazah Sarjana Sains Pengurusan, sentiasa menganggap proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat dan tidak pernah terhenti.
Di sebalik pencapaian akademik cemerlang, Rizal yang memperoleh Gred Purata Nilai Kumulatif (CGPA) 3.92 selepas menamatkan program Ijazah Sarjana, menceritakan dia pernah dicabar melakukan sebaik mungkin dalam pengajiannya itu oleh pegawai kanan Unit Latihan Polis, Bukit Aman, Datuk Jamshah Mustapha.
"Saya amat menghargai peluang yang diberi PDRM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melanjutkan pelajaran dengan cuti bergaji penuh serta bantuan biasiswa sepanjang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana pada 2010 hingga 2011," katanya lagi.
Rizal akui tidak pernah menyesal memilih PDRM walaupun memiliki latar belakang akademik yang baik kerana baginya ilmu pengetahuan diibaratkan akar yang perlu kuat sebelum menghasilkan buah yang baik.
"Tiga asas penting iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baik perlu ada dalam pembangunan kerjaya seseorang. Contohnya, sikap malu, malas dan mudah rasa selesa merupakan sikap negatif yang boleh menghalang seseorang untuk terus maju ke hadapan," jelasnya.
Katanya sambil memberi contoh tugas sebagai pegawai perhubungan awam yang perlu menerapkan 3C iaitu kolaborasi, komunikasi dan kreativiti dalam membina hubungan dengan pihak lain.
"Masyarakat adalah pelanggan PDRM, jadi membina hubungan yang positif antara kedua-dua pihak merupakan tugas paling mencabar.
"Sebagai polis, kita kena bersedia dari segi mental dan fizikal kerana semua maklumat hari ini di hujung jari sahaja.
"Jadi untuk berhadapan dengan masyarakat alaf baru, empat asas penting dalam hierarki pengurusan maklumat perlu ada iaitu fakta, maklumat, pengetahuan dan bijaksana supaya mesej yang ingin disampaikan tercapai," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan