Rabu, 25 Julai 2012

Cium di Tiga Tempat

Di sebuah taman, sepasang kekasih sedang berbisik-bisik:

 Lelaki: "Sayang, apa yang paling kamu dambakan?"

Teman wanitanya dengan malu-malu kucing berkata: "Perkara yang paling ku dambakan ialah, kamu mencium diri ku di 3 tempat."

Lelaki: "Ah, itu mudah, cuba kamu katakan di tiga tempat yang mana?"

Wanita: "Paris, London dan New York."

Ahad, 1 Julai 2012

Tauhu busuk yang lazat





TAIWAN merupakan sebuah kepulauan yang diingati kerana pernah menjadi pemilik kepada bangunan tertinggi di dunia Taipei 101.
Sejarah panjang Taiwan yang berjuang membebaskan diri daripada bersatu dengan China dan antara negara yang memegang status Harimau Asia, Taiwan sememangnya sebuah negara yang sarat dengan tempat-tempat menarik untuk berlibur.
Bagi yang benar-benar mengenali Taiwan, salah satu tarikan utama saat menjejakkan kaki di kepulauan dengan populasi penduduk lebih 23 juta orang itu ialah pasar malamnya.
Pasar malam? Mungkin kedengaran pelik mengapa pasar malam boleh menjadi satu tarikan hebat yang harus ada dalam catatan diari sang pelancong.
Percayalah, ini kerana setiap pasar malam di daerah-daerah Taiwan mempunyai signatur tersendiri.
Deretan kedai dan gerai menawarkan pelbagai pilihan barangan daripada kraf tangan hinggalah makanan eksotik. Pengunjung pasti teruja memilih produk yang sesuai dengan cita rasa dan duit poket mereka ibarat pepatah, tepuk dada tanya selera.
Antara lokasi pasar malam yang paling terkenal di Taiwan ialah pasar malam Shilin.
Terletak di ibu kota Taiwan, Taipei, pasar malam Shilin yang menawarkan variasi makanan tradisi dan moden, memulakan perniagaan sekitar pukul 3 petang dan berlanjutan hingga ke lewat malam.
Lokasi tersebut popular kerana menyajikan pelbagai hidangan tempatan 'asli' yang tidak berubah resipinya sejak turun temurun.
Tiada perubahan dilakukan seperti mengubah rasa makanan bagi menyesuaikannya dengan lidah pelancong asing yang alah kepada masakan pedas atau menambah tekstur agar hidangan tampak 'mengiurkan'.
Jika anda inginkan rasa sebenar makanan tempatan Taiwan, pasar malam tersebut merupakan lokasi wajib untuk dikunjungi.
Antara penangan pasar malam Shilin adalah 'mi sua' (mi halus), tauhu bakar, mi daging lembu, manisan dan pelbagai jenis makanan ringan.
"Shilin merupakan salah sebuah pasar malam yang paling saya suka kunjungi disebabkan kepelbagaian barangan yang ditawarkan terutamanya makanan dan pakaian.

SETIAP pasar malam di Taiwan menawarkan produk atau sajian makanan yang berbeza mengikut daerah.


"Kebanyakan pasar malam di negara kita menawarkan barangan yang sama, tetapi di Taiwan jangan harap anda boleh membeli barangan sama di pasar malam lain sekiranya anda terlupa membeli produk tersebut di pasar malam yang dikunjungi sebelum itu," kata seorang jurujual, Hon Suet Yi.
Berusia 27 tahun, Suet Yi berasal dari Perak yang pernah melancong ke Taiwan dua tahun lalu menambah, kebanyakan pakaian yang dijual di negara tersebut mengikut perkembangan fesyen terkini disebabkan kedudukan Taiwan yang tidak jauh dari hab fesyen Asia, Jepun.
"Berbalik kepada soal makanan pula, walaupun sebahagian makanan di Taiwan boleh didapati di Malaysia, namun rasanya jauh berbeza," ujar Suet Yi.
Selain pasar malam Shilin, satu lagi pasar malam yang popular ialah pasar malam Feng Jia yang terletak di Taichung.
Terkenal sebagai pasar malam terbesar di Taiwan, pasar malam Feng Jia boleh bermegah kerana memiliki lebih daripada 1,500 gerai yang dikendalikan oleh peniaga tempatan.
Lokasi tersebut yang beroperasi sejak tahun 1963, menerima kunjungan sekitar 30,000 pelawat pada setiap hari termasuk penduduk tempatan dan pelancong asing.
Pasar malam makanan laut
Jika pasar malam Shilin terkenal dengan makanan tradisional, Feng Jia tersohor kerana makanan lautnya yang dimasak ringkas tetapi segar .
Beroperasi dari pukul 5 petang hingga lewat malam, lokasi itu turut menawarkan paling banyak makanan ringan berbanding pasar malam lain di Taiwan.
Mereka yang membawa keluarga perlu bersedia berbelanja lebih kerana anak-anak pasti rambang mata melihat beraneka makanan menyelerakan.
"Oleh kerana pasar malam Feng Jia terlalu besar, saya tidak habis melawat keseluruhan tempat itu dalam satu malam sahaja," kata Chan Sook Teng, 26, yang berkunjung ke pulau itu awal Jun lalu.
"Saya dan keluarga naik lenguh kerana kami berjalan selama beberapa jam," tambahnya lagi.
Namun, ujar Sook Teng, pengalaman tersebut berbaloi kerana terdapat banyak produk seperti barangan kulit, aksesori, dres, kasut dan mekap yang menarik minat golongan muda.
Ujarnya, jika penat berjalan dan tekak terasa haus pengunjung tidak perlu risau kerana banyak gerai minuman boleh didapati di pasar malam tersebut.
"Minuman yang paling terkenal di Taiwan ialah teh susu mutiara (pearl milk tea). Ia boleh didapati dalam banyak perisa pilihan yang menyebabkan pengunjung sukar untuk membuat keputusan.
"Selain itu, kemudahan pengangkutan awam yang disediakan juga merupakan salah satu faktor yang memudahkan pengunjung untuk mengunjungi pasar malam di negara ini," katanya.
Menurut wanita itu lagi, tahap kebersihan pasar malam di negara tersebut juga berbeza dengan pasar malam di Malaysia.

PASAR malam Ning Xia terkenal dengan pelbagai jenis permainan seperti pesta ria di Malaysia.


Kebanyakan pasar malam di Taiwan katanya, adalah bersih bagi memastikan pengunjung dapat membeli-belah dalam suasana yang lebih selesa.
Sajian tradisi tauhu busuk
Jika ada pun bau busuk mencucuk hidung pengunjung, aroma tersebut bukan sampah, tetapi berasal daripada hidangan tauhu busuk yang digemari penduduk tempatan.
Makanan itu 'digeruni' pelancong asing kerana memiliki bau 'tengik' yang membuatkan mereka berasa loya untuk memakannya.
Malah, anda masih dapat menghidu bau tauhu busuk walaupun berada kira-kira 50 meter dari gerai yang menjual makanan itu.
Anda mungkin akan rasa jijik dengan cara pembuatannya, iaitu mengeringkan air daripada kepingan tauhu, memerap, menapai selama beberapa hari sehingga tumbuh kulat dan kemudian menggorengkannya.
Di sebalik bau tersebut, mereka yang berani merasa makanan itu mengakui tauhu busuk memiliki rasa lazat dan unik.
"Pada mulanya saya takut untuk mencubanya disebabkan baunya yang terlalu busuk, malah menjijikkan.
"Bagaimanapun, memandangkan ia merupakan salah satu makanan popular di Taiwan, saya memberanikan diri untuk memakan tauhu busuk. Rasanya memang di luar jangkaan saya, sangat sedap!" kata Wai Yee Lui, 34, yang melancong ke negara Taiwan tahun lalu.
Tambahnya, makanan tersebut perlu dimakan bersama sos khas bagi meningkatkan lagi kelazatannya.
Kos perbelanjaan di pasar malam juga tidak tinggi, makanan boleh dibeli pada harga semurah NT$30 (RM3), manakala minumannya seperti teh berharga sekitar NT$25 (RM2.50).
Selain itu, pasar malam di Taiwan turut memiliki keistimewaan yang tidak terdapat di negara ini iaitu permainan mini.
Seperti di pesta ria, pasar malam di sesetengah daerah seperti pasar malam Ning Xia menyediakan pelbagai permainan mini seperti 'paintball', menembak belon, menangkap ikan dan lempar gelang botol.
Pemenang akan ditawarkan hadiah yang menarik seperti patung dan juga hadiah kecil seperti makanan dan minuman. Tidak penting hadiah apa yang ditawarkan, yang penting ialah kepuasan dan kegembiraan yang dirasai semasa bermain permainan tersebut.
Bercerita tentang perbezaan pasar malam Taiwan dan pasar malam di tanah air, seorang lagi pelancong Malaysia, Chong Su Jien berkata, harga barangan yang ditawarkan di pasar malam Taiwan adalah lebih murah.
TIRAM goreng telur antara menu istimewa yang dijual di pasar malam Taiwan.


"Mereka yang suka membeli-belah pada harga yang murah boleh mengunjungi pasar malam di negara berkenaan kerana anda pasti pulang ke hotel dengan beg yang penuh," katanya.
Tambah Yee Lui pula, dia pasti akanberkunjung ke negara tersebut pada musim sejuk kerana cuaca nyaman akan menjadikan anda terasa seperti di Genting Highlands.
"Setiap kali kita mengunjungi pasar malam pasti akan berpeluh dan kurang selesa. Tetapi di Taiwan pengunjung boleh memilih untuk berkunjung ke negara tersebut pada musim sejuk iaitu pada awal dan akhir tahun. Anda pasti dapat merasai kelainannya," ujar Yee Lui.

Kisah hikayat dari kaca mata Zalina


ZALINA banyak membuat kajian dan rujukan daripada cerita-cerita lama sebelum menghasilkan buku kisah hikayat Melayu ini.



PADA zaman ini cerita epik percintaan pahlawan dan srikandi Tanah Melayu sudah jarang dikisahkan buat anak-anak muda milenium baharu.
Sedangkan suatu ketika dahulu, kisah-kisah itulah yang menjadi kegemaran bukan sahaja kanak-kanak, bahkan orang dewasa.
Inilah yang dirasai penulis buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms, Zalina Abdul Aziz, 47, sehingga mendorongnya membuat keputusan untuk mengumpulkan cerita-cerita tersebut dan menghimpunkannya semula dalam sebuah buku.
Dibesarkan dengan buku-buku hikayat milik datuk dan neneknya pada zaman kanak-kanak, Zalina tidak pernah bosan kerana adanya buku-buku hikayat yang menjadi bacaan hariannya.
“Buku hikayat pertama yang saya baca ialah Puteri Hijau. Ketika itu saya masih di sekolah rendah, tetapi buku kegemaran saya berjudul Panji Semerah.
“Selepas itulah, minat terhadap buku-buku hikayat semakin mendalam dan saya mula membaca lebih banyak buku tersebut yang dikumpul dari arwah datuk di sebelah ibu saya, Jaafar Awang Pekan yang juga bekas guru besar. Antaranya Puteri Gunung Ledang dan Mayang Sari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor minggu lalu.
Zalina yang menggunakan nama pena Ninotaziz berkata, buku nukilannya itu memaparkan pelbagai kisah hikayat termasuk kisah-kisah paling popular seperti Awang Sulong Merah Muda dan Hikayat Malim Deman serta kisah puteri-puteri mitos dalam legenda wayang kulit dan makyung.
“Kisah-kisah ini turut memuatkan puisi-puisi dan prosa selain lagu-lagu rakyat lama, pantun dan gurindam yang diturunkan dari generasi ke generasi.
“Melalui buku ini, saya berharap lebih ramai pembaca termasuk orang luar dapat menghayati kisah-kisah tersebut kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris,” katanya yang merupakan bekas graduan sains komputer daripada Universiti Carleton, Kanada.
Penulis yang dilahirkan di Hobart, Tasmania, Australia itu memberitahu, selain kisah-kisah hikayat, keistimewaan buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms juga terletak kepada ilustrasinya yang dijelmakan oleh pelukis Malek Rahim. Lukisan pada kulit buku pula diilhamkan oleh Raduan Man.
“Buku ini mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan memandangkan saya perlu membuat banyak kajian mengenai kisah-kisah legenda dan hikayat sebelum menterjemahkan dan menyampaikannya semula dalam bahasa Inggeris,” jelasnya yang juga merupakan Pengarah Eksekutif TiE Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang mempromosikan bidang keusahawanan di Asia Tenggara dan negara ini.
Tambah Zalina, buku tersebut sangat bermakna bagi beliau kerana ibunya, Kamariah Jaafar juga bertindak sebagai salah seorang penyunting.
“Minat yang mendalam terhadap kisah-kisah pahlawan dan srikandi Melayu lama sudah sebati dalam keluarga saya memandangkan ia diturunkan dari generasi ke generasi.
“Saya harap melalui buku ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan menghargai hikayat Melayu lama kerana kisah-kisah ini turut mendapat sambutan dalam kalangan kenalan saya yang berbangsa asing terutamanya dari Perancis,” ujar Zalina.
Buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms kini boleh didapati di kedai-kedai buku utama dan boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.mybooks.com.my.

Kumpulan samun kedai 24 jam tumpas



SANDAKAN — Polis Sandakan berjaya menumpaskan kumpulan samun yang mensasarkan kedai runcit 24 jam di daerah ini, dengan penahanan tiga lelaki dalam serbuan di Apartment Villa Permai Batu 5 semalam.
Ketua Polis Sandakan, ACP Rowell Marong berkata, suspek yang berusia antara 18 dan 26 tahun ditahan pukul 1.30 pagi semalam di sebuah rumah di situ.
Dalam serbuan itu polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil samun dianggar bernilai RM15,000 serta tiga bilah parang yang disyaki diguna untuk kegiatan jenayah mereka, katanya pada sidang media, di sini hari ini.— BERNAMA

Rebusan selama empat jam rahsia keenakan Sup Urat Keting UK.






SUP memberi Shahdan 'kuasa' tambahan.


SABUL menunjukkan urat keting mentah.


SATE restoran Sabul tidak kurang sedapnya.


SEBELUM ini, Sabul Ismail, 38, merupakan seorang penjual jam tangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Namun kini dia merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya.
Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.
Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari. Suasana di restoran itu sahaja sudah cukup membuatkan pelanggan teruja.
Seakan-akan sebuah kopitiam yang diselangi potret gambar menarik di dinding, hidangan masakannya dibuat secara terbuka.
Mengapa namanya Restoran Sup Urat Ketin?
“Sebenarnya buntu saya memikirkan nama restoran ini. Tiga hari saya tidur lewat kerana ingin mencipta kelainan untuk menarik pelanggan.
“Setelah puas berfikir akhirnya datang ilham. Saya rasa sup keting (‘ketin’ dalam dialek Kelantan) merupakan nama terbaik. Anda pelik mendengar namanya, bukan? Sebenarnya yang pelik itulah yang menjadikan orang tertarik,” katanya ketawa.
Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul.
Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak. Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.
Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng.
“Saiz keting yang sesuai untuk dibuat sup ialah tiga sentimeter panjang dan satu sentimeter tebal.
“Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar,” katanya.
Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu.
Antara pelanggan yang selalu datang untuk menikmati sup keting Sabul ialah pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Kid (Hamzah Mohd. Taib), bekas anggota kumpulan Search.
“Mereka datang sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi saya tidak pula bertanya pada Dr. Fadzilah mengenai rahsia makan sup khususnya bagi orang lelaki,” katanya sambil ketawa.

KONSEP hidangan terbuka merupakan satu lagi tarikan restoran milik Sabul.


Sabul juga berkongsi rahsia menyediakan sup keting yang lazat.
“Ramuan untuk membuat sup keting sama seperti membuat sup tulang, sup ekor dan sup gearbox.
“Rempah ratusnya termasuk jintan, kayu manis, bunga lawang, bawang putih, bawang besar, halia dan kayu manis. Semuanya perlu diadun dan direbus bersama selama empat jam.
“Jangan pelik kerana untuk membuatnya perlu ada dua rebusan berbeza, satu rebusan tulang lembu dan satu lagi urat keting bagi membuang lemaknya.
“Apabila telah cukup tempoh rebusan, kedua-dua air rebusan tadi digabungkan sebelum ditambah gula dan garam. Sup ini juga digemari ramai orang Cina,” katanya.
Shahdan Yusof, 29, seorang kontraktor, berpendapat sup keting dapat memberikan beliau tenaga tambahan.
“Saya kerap berpanas di tapak projek, jadi sup keting dapat memberikan saya ‘kuasa’ tambahan. Kebiasaannya saya makan sup ini tiga kali seminggu di sini,” ujarnya.

KIRA-KIRA 500 orang mengunjungi restoran ini setiap hari.


Dengan peluh mengalir di dahi ketika dia menghirup sup dan mengunyah urat keting. Syahil Siadan, 28, ada pendapat sendiri mengenai sup itu.
“Saya berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Kebiasaannya sup keting hanya menjadi menu utama ketika Hari Raya Haji. Kini ia dapat dinikmati setiap hari.
“Saya tidak perlu lagi pulang ke Kelantan kerana di Selangor pun ada sup keting,” katanya berjenaka.

Terbang bagai seekor burung





IA hampir sama seperti adegan filem adi wira tetapi aksi Yves Rossy tidak melibatkan sebarang kesan khas.
Baru-baru ini, rakyat Switzerland yang dikenali sebagai Lelaki Jet itu mengejutkan penumpang sebuah pesawat vintaj apabila dia terbang bersama mereka pada kelajuan 205 kilometer sejam selama kira tujuh minit menggunakan sepasang sayap yang dipacu kuasa jet.
Walaupun bekas juruterbang berusia 53 tahun itu tidak lagi asing untuk aksi seperti itu, ini merupakan kali pertama beliau terbang bersebelahan pesawat penumpang, Douglas DC-3 ketika pesawat tahun 1940-an itu melintasi Tasik Lucerne di Switzerland.
Untuk aksi terbaharunya pada Jumaat minggu lalu, dia terjun daripada sebuah helikopter pada ketinggian 6,000 kaki.
Semasa jatuh, bekas kapten Swiss International Airlines itu menstabilkan dirinya dengan sebuah beg sandang Kevlar karbon yang keras berupa sepasang sayap yang dilengkapi empat enjin jet yang dianggap sebagai sebahagian daripada tubuhnya.
Dia kemudian terbang pada ketinggian 4,500 kaki bersebelahan Douglas DC-3 dan boleh dilihat dengan jelas oleh penumpang kapal terbang dua kipas itu.
Apabila kehabisan minyak, Rossy membuka payung terjun dan mendarat di Lapangan Terbang Buochs, Nidwalden, tengah Switzerland.
Menurut laman web Rossy, www.jetman.com, dia merupakan orang pertama dan satu-satunya manusia dalam sejarah yang terbang menggunakan sayap berkuasa jet.
Kerjaya Rossy bermula sebagai juruterbang pesawat pejuang selama 18 tahun. Selepas itu, dia menjadi kapten bagi beberapa penerbangan komersial.

SAYAP berkuasa jet membolehkan Rossy melakukan aksi seperti seekor burung di angkasa.


Laman web itu berkata, dia telah menghabiskan semua masa lapangnya untuk terbang dan bereksperimen dengan segala bentuk sayap yang akan membawanya terbang bebas di angkasa.
Rossy telah melintasi Banjaran Alps di Switzerland termasuk Tasik Geneva pada tahun 2002 dan pada 2008 dia menyeberangi Selat Inggeris. Kesemua rekaannya kini sudah diperhalusi supaya semuanya berada dalam keadaan selamat di samping alat kawalan yang kecil di tangannya.
Projek
Sayap itu bukan sahaja direka dan dimajukan oleh Rossy sendiri bagi membolehkannya terbang tetapi dia turut menguji alat itu sejak 11 tahun yang lalu.
Pada Jun 2004, Rossy berjaya menerbangkan sayap berenjin yang diletakkan di belakangnya selepas terjun daripada sebuah pesawat Pilatus pada ketinggian 4,000 meter.
Beberapa saat selepas itu Rossy mula membuka sayapnya dan menghidupkan enjin serta mengambil masa selama 30 saat untuk menstabilkan badannya.
Selepas berjaya mengawal sayap, Rossy akhirnya berjaya terbang pada ketinggian 1,600 meter dan meluncur beriringan dengan pesawat Pilatus pada kelajuan 180 kilometer sejam.
Sepanjang penerbangan selama empat minit itu, Rossy perlu menggerakkan badannya untuk mengemudi pergerakan sayap sama seperti yang dilakukan oleh seekor burung.
Sejak penerbangan sulung itu, Rossy telah terbang sebanyak lebih 50 kali.

ROSSY mengambil masa selama tiga tahun sebelum boleh terbang seperti ini.


Projek Rossy itu memperoleh permit daripada Pejabat Persekutuan untuk Penerbangan Awam Switzerland (FOCA) dan dilindungi insurans. Projek itu ditaja oleh syarikat pembuat jam terkemuka Switzerland, Breitling.
Rossy gemar menggambar dirinya seperti seekor burung. "Saya tidak mempunyai bulu tetapi kadangkala saya berasa seperti seekor burung," katanya.
Bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan, Rossy berkata seseorang perlu mengambil masa selama beberapa tahun sebelum boleh terbang sepertinya.
Relaks
"Meluncur di udara adalah berbahaya dan rumit. Tetapi sebaik sahaja anda terbang, segalanya menjadi mudah," katanya kepada laman berita Jerman, Spiegel Online pada tahun 2008.
Menurut Rossy, perkara paling getir semasa berlepas ialah membetulkan sayap ketika berada di dalam kapal terbang sebelum terjun.
"Berat sayap itu kira-kira 55 kilogram. Selepas enjin dihidupkan, saya biarkan seketika supaya deruman enjin itu stabil kemudian barulah saya membuat lompatan.
"Memang sukar untuk membetulkan kedudukan daripada jatuh menjunam kepada terbang secara mendatar dan dalam masa yang sama memecut enjin. Bagaimanapun, apabila sayap yang saya cipta ini betul-betul bagus dan mudah dikawal nanti, pada masa itu nenek saya pun boleh terbang," katanya ketawa

PAYUNG terjun merupakan satu-satunya cara Lelaki Jet ini mendarat.


Adakah seseorang memerlukan keadaan fizikal tertentu untuk menjadi Lelaki Jet? Ia hanya diperlukan pada permulaan, kata Rossy.
"Ia sama seperti menyelam. Selagi anda tidak berada di dalam air, keadaannya sama seperti burung penguin yang berjalan terkedek-kedek di pantai.
"Namun, sebaik sahaja masuk ke dalam air, semuanya berjalan lancar dan bersahaja. Saya terbang secara relaks, tanpa perlu mengerah otot dan tenaga. Hakikatnya, tubuh saya merupakan sebahagian daripada objek terbang," beritahu Rossy.
Ketika ditanya apa perasaannya dapat terbang seperti burung, Rossy menjawab dia betul-betul rasa bebas.
"Saya sudah terbang dengan bermacam jenis pesawat tetapi saya dikelilingi pelbagai peralatan yang perlu dikawal. Dengan sayap ini, seolah-olah saya sendiri sedang terbang," ceritanya yang tidak menganggap dirinya sebagai seorang kamikaze.
Bagaimanapun, Rossy hanya boleh berada di udara selama kira 10 minit. Selain kehabisan minyak, suhu panas enjin membuatkan tubuh Rossy berbahang apatah lagi dia perlu mengenakan sut lengkap sama seperti yang dipakai pemandu kereta lumba atau ahli pasukan bomba. - Agensi

Irma naik pelamin



PENGANTIN baharu. Irma Hasmie bersama suaminya, Reza Syah Azmeer Mohd. Radzuan. Hari ini mereka bersanding di Serdang, Selangor.


ORANG Kelantan kata: Molek sunggoh doh Irma nikoh dengan Redza tu, muko ado meh-meh! Maknanya molek benarlah Irma bertemu jodoh dengan Redza, muka pun macam ada iras-iras. Kata orang tua-tua, kalau muka ada iras-iras, maknanya jodoh akan berkekalan sehingga hujung usia. Amin!
Diva tumpang gembira tengok Irma dan suaminya, Reza Syah Azmeer Mohd. Radzuan tersenyum meleret-leret macam gaun pengantin lepas dinikahkan bapa Irma sendiri, Jumaat lalu. Ramai yang pulang dari majlis akad nikah Irma memuji-muji pasangan pengantin, tambah manis buah tangan yang disediakan oleh pengantin untuk tetamu yang hadir berupa buku himpunan doa.
Hari ini pula, Irma dan Redza yang merupakan seorang ahli perniagaan itu akan bersanding dalam satu majlis yang diadakan di bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.
Diva tunggu kad kahwin Ratu Rock, Ella pula.
Diva: Fuhh! Macam nak meledak rasanya payudara Lana Nordin dalam gambar-gambar panasnya yang dirakamkan bersama seorang Mat Saleh di Jakarta. Seksi!