SEBELUM ini, Sabul Ismail, 38, merupakan seorang penjual jam tangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Namun kini dia merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya.
Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.
Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari. Suasana di restoran itu sahaja sudah cukup membuatkan pelanggan teruja.
Seakan-akan sebuah kopitiam yang diselangi potret gambar menarik di dinding, hidangan masakannya dibuat secara terbuka.
Mengapa namanya Restoran Sup Urat Ketin?
“Sebenarnya buntu saya memikirkan nama restoran ini. Tiga hari saya tidur lewat kerana ingin mencipta kelainan untuk menarik pelanggan.
“Setelah puas berfikir akhirnya datang ilham. Saya rasa sup keting (‘ketin’ dalam dialek Kelantan) merupakan nama terbaik. Anda pelik mendengar namanya, bukan? Sebenarnya yang pelik itulah yang menjadikan orang tertarik,” katanya ketawa.
Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul.
Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak. Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.
Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng.
“Saiz keting yang sesuai untuk dibuat sup ialah tiga sentimeter panjang dan satu sentimeter tebal.
“Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar,” katanya.
Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu.
Antara pelanggan yang selalu datang untuk menikmati sup keting Sabul ialah pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Kid (Hamzah Mohd. Taib), bekas anggota kumpulan Search.
“Mereka datang sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi saya tidak pula bertanya pada Dr. Fadzilah mengenai rahsia makan sup khususnya bagi orang lelaki,” katanya sambil ketawa.
Sabul juga berkongsi rahsia menyediakan sup keting yang lazat.
“Ramuan untuk membuat sup keting sama seperti membuat sup tulang, sup ekor dan sup gearbox.
“Rempah ratusnya termasuk jintan, kayu manis, bunga lawang, bawang putih, bawang besar, halia dan kayu manis. Semuanya perlu diadun dan direbus bersama selama empat jam.
“Jangan pelik kerana untuk membuatnya perlu ada dua rebusan berbeza, satu rebusan tulang lembu dan satu lagi urat keting bagi membuang lemaknya.
“Apabila telah cukup tempoh rebusan, kedua-dua air rebusan tadi digabungkan sebelum ditambah gula dan garam. Sup ini juga digemari ramai orang Cina,” katanya.
Shahdan Yusof, 29, seorang kontraktor, berpendapat sup keting dapat memberikan beliau tenaga tambahan.
“Saya kerap berpanas di tapak projek, jadi sup keting dapat memberikan saya ‘kuasa’ tambahan. Kebiasaannya saya makan sup ini tiga kali seminggu di sini,” ujarnya.
Dengan peluh mengalir di dahi ketika dia menghirup sup dan mengunyah urat keting. Syahil Siadan, 28, ada pendapat sendiri mengenai sup itu.
“Saya berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Kebiasaannya sup keting hanya menjadi menu utama ketika Hari Raya Haji. Kini ia dapat dinikmati setiap hari.
“Saya tidak perlu lagi pulang ke Kelantan kerana di Selangor pun ada sup keting,” katanya berjenaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan