|
TAIWAN merupakan sebuah kepulauan yang diingati kerana pernah menjadi pemilik kepada bangunan tertinggi di dunia Taipei 101.
Sejarah panjang Taiwan yang berjuang membebaskan diri daripada bersatu dengan China dan antara negara yang memegang status Harimau Asia, Taiwan sememangnya sebuah negara yang sarat dengan tempat-tempat menarik untuk berlibur.
Bagi yang benar-benar mengenali Taiwan, salah satu tarikan utama saat menjejakkan kaki di kepulauan dengan populasi penduduk lebih 23 juta orang itu ialah pasar malamnya.
Pasar malam? Mungkin kedengaran pelik mengapa pasar malam boleh menjadi satu tarikan hebat yang harus ada dalam catatan diari sang pelancong.
Percayalah, ini kerana setiap pasar malam di daerah-daerah Taiwan mempunyai signatur tersendiri.
Deretan kedai dan gerai menawarkan pelbagai pilihan barangan daripada kraf tangan hinggalah makanan eksotik. Pengunjung pasti teruja memilih produk yang sesuai dengan cita rasa dan duit poket mereka ibarat pepatah, tepuk dada tanya selera.
Antara lokasi pasar malam yang paling terkenal di Taiwan ialah pasar malam Shilin.
Terletak di ibu kota Taiwan, Taipei, pasar malam Shilin yang menawarkan variasi makanan tradisi dan moden, memulakan perniagaan sekitar pukul 3 petang dan berlanjutan hingga ke lewat malam.
Lokasi tersebut popular kerana menyajikan pelbagai hidangan tempatan 'asli' yang tidak berubah resipinya sejak turun temurun.
Tiada perubahan dilakukan seperti mengubah rasa makanan bagi menyesuaikannya dengan lidah pelancong asing yang alah kepada masakan pedas atau menambah tekstur agar hidangan tampak 'mengiurkan'.
Jika anda inginkan rasa sebenar makanan tempatan Taiwan, pasar malam tersebut merupakan lokasi wajib untuk dikunjungi.
Antara penangan pasar malam Shilin adalah 'mi sua' (mi halus), tauhu bakar, mi daging lembu, manisan dan pelbagai jenis makanan ringan.
"Shilin merupakan salah sebuah pasar malam yang paling saya suka kunjungi disebabkan kepelbagaian barangan yang ditawarkan terutamanya makanan dan pakaian.
"Kebanyakan pasar malam di negara kita menawarkan barangan yang sama, tetapi di Taiwan jangan harap anda boleh membeli barangan sama di pasar malam lain sekiranya anda terlupa membeli produk tersebut di pasar malam yang dikunjungi sebelum itu," kata seorang jurujual, Hon Suet Yi.
Berusia 27 tahun, Suet Yi berasal dari Perak yang pernah melancong ke Taiwan dua tahun lalu menambah, kebanyakan pakaian yang dijual di negara tersebut mengikut perkembangan fesyen terkini disebabkan kedudukan Taiwan yang tidak jauh dari hab fesyen Asia, Jepun.
"Berbalik kepada soal makanan pula, walaupun sebahagian makanan di Taiwan boleh didapati di Malaysia, namun rasanya jauh berbeza," ujar Suet Yi.
Selain pasar malam Shilin, satu lagi pasar malam yang popular ialah pasar malam Feng Jia yang terletak di Taichung.
Terkenal sebagai pasar malam terbesar di Taiwan, pasar malam Feng Jia boleh bermegah kerana memiliki lebih daripada 1,500 gerai yang dikendalikan oleh peniaga tempatan.
Lokasi tersebut yang beroperasi sejak tahun 1963, menerima kunjungan sekitar 30,000 pelawat pada setiap hari termasuk penduduk tempatan dan pelancong asing.
Pasar malam makanan laut
Jika pasar malam Shilin terkenal dengan makanan tradisional, Feng Jia tersohor kerana makanan lautnya yang dimasak ringkas tetapi segar .
Beroperasi dari pukul 5 petang hingga lewat malam, lokasi itu turut menawarkan paling banyak makanan ringan berbanding pasar malam lain di Taiwan.
Mereka yang membawa keluarga perlu bersedia berbelanja lebih kerana anak-anak pasti rambang mata melihat beraneka makanan menyelerakan.
"Oleh kerana pasar malam Feng Jia terlalu besar, saya tidak habis melawat keseluruhan tempat itu dalam satu malam sahaja," kata Chan Sook Teng, 26, yang berkunjung ke pulau itu awal Jun lalu.
"Saya dan keluarga naik lenguh kerana kami berjalan selama beberapa jam," tambahnya lagi.
Namun, ujar Sook Teng, pengalaman tersebut berbaloi kerana terdapat banyak produk seperti barangan kulit, aksesori, dres, kasut dan mekap yang menarik minat golongan muda.
Ujarnya, jika penat berjalan dan tekak terasa haus pengunjung tidak perlu risau kerana banyak gerai minuman boleh didapati di pasar malam tersebut.
"Minuman yang paling terkenal di Taiwan ialah teh susu mutiara (pearl milk tea). Ia boleh didapati dalam banyak perisa pilihan yang menyebabkan pengunjung sukar untuk membuat keputusan.
"Selain itu, kemudahan pengangkutan awam yang disediakan juga merupakan salah satu faktor yang memudahkan pengunjung untuk mengunjungi pasar malam di negara ini," katanya.
Menurut wanita itu lagi, tahap kebersihan pasar malam di negara tersebut juga berbeza dengan pasar malam di Malaysia.
Kebanyakan pasar malam di Taiwan katanya, adalah bersih bagi memastikan pengunjung dapat membeli-belah dalam suasana yang lebih selesa.
Sajian tradisi tauhu busuk
Jika ada pun bau busuk mencucuk hidung pengunjung, aroma tersebut bukan sampah, tetapi berasal daripada hidangan tauhu busuk yang digemari penduduk tempatan.
Makanan itu 'digeruni' pelancong asing kerana memiliki bau 'tengik' yang membuatkan mereka berasa loya untuk memakannya.
Malah, anda masih dapat menghidu bau tauhu busuk walaupun berada kira-kira 50 meter dari gerai yang menjual makanan itu.
Anda mungkin akan rasa jijik dengan cara pembuatannya, iaitu mengeringkan air daripada kepingan tauhu, memerap, menapai selama beberapa hari sehingga tumbuh kulat dan kemudian menggorengkannya.
Di sebalik bau tersebut, mereka yang berani merasa makanan itu mengakui tauhu busuk memiliki rasa lazat dan unik.
"Pada mulanya saya takut untuk mencubanya disebabkan baunya yang terlalu busuk, malah menjijikkan.
"Bagaimanapun, memandangkan ia merupakan salah satu makanan popular di Taiwan, saya memberanikan diri untuk memakan tauhu busuk. Rasanya memang di luar jangkaan saya, sangat sedap!" kata Wai Yee Lui, 34, yang melancong ke negara Taiwan tahun lalu.
Tambahnya, makanan tersebut perlu dimakan bersama sos khas bagi meningkatkan lagi kelazatannya.
Kos perbelanjaan di pasar malam juga tidak tinggi, makanan boleh dibeli pada harga semurah NT$30 (RM3), manakala minumannya seperti teh berharga sekitar NT$25 (RM2.50).
Selain itu, pasar malam di Taiwan turut memiliki keistimewaan yang tidak terdapat di negara ini iaitu permainan mini.
Seperti di pesta ria, pasar malam di sesetengah daerah seperti pasar malam Ning Xia menyediakan pelbagai permainan mini seperti 'paintball', menembak belon, menangkap ikan dan lempar gelang botol.
Pemenang akan ditawarkan hadiah yang menarik seperti patung dan juga hadiah kecil seperti makanan dan minuman. Tidak penting hadiah apa yang ditawarkan, yang penting ialah kepuasan dan kegembiraan yang dirasai semasa bermain permainan tersebut.
Bercerita tentang perbezaan pasar malam Taiwan dan pasar malam di tanah air, seorang lagi pelancong Malaysia, Chong Su Jien berkata, harga barangan yang ditawarkan di pasar malam Taiwan adalah lebih murah.
"Mereka yang suka membeli-belah pada harga yang murah boleh mengunjungi pasar malam di negara berkenaan kerana anda pasti pulang ke hotel dengan beg yang penuh," katanya.
Tambah Yee Lui pula, dia pasti akanberkunjung ke negara tersebut pada musim sejuk kerana cuaca nyaman akan menjadikan anda terasa seperti di Genting Highlands.
"Setiap kali kita mengunjungi pasar malam pasti akan berpeluh dan kurang selesa. Tetapi di Taiwan pengunjung boleh memilih untuk berkunjung ke negara tersebut pada musim sejuk iaitu pada awal dan akhir tahun. Anda pasti dapat merasai kelainannya," ujar Yee Lui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan