SHAH ALAM: Seorang wanita warga Zambia hanya mampu mengalirkan air mata apabila dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar 1.327 kilogram (kg) syabu ketika memasuki negara ini, tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu terhadap Nachilongo Doreen, 25, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Noor Azian pada penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan tertuduh yang juga seorang pelajar di negara asalnya ketika membela diri tidak boleh dipercayai.
Beliau berkata, pihaknya menolak dakwaan tertuduh yang menyatakan dadah ditemui pada beg pakaiannya diletakkan orang lain.
Menurutnya, ini memandangkan cara dadah itu disembunyikan dan dilekatkan dengan gam di bahagian bawah beg terbabit. Selain itu katanya, keterangan tertuduh bahawa dia datang ke negara ini untuk mencari kerja amat meragukan memandangkan wanita itu membuat tempahan untuk tinggal di Hotel Hilton.
Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan