KUALA
LUMPUR – Pelawak terkenal tanah air Osman Kassim atau lebih dikenali
dengan nama Osman Kering meninggal dunia hari ini akibat batuk kering.
Osman, 58, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini pada kira-kira pukul 3.45 petang.
Osman yang berasal dari Pauh Lima, Kelantan, meninggalkan seorang
balu Che Norhayati Che Omar, 48, dan tujuh orang anak serta tiga cucu.
Anak keempatnya Norhidayah Osman berkata bapanya itu telah lama
menghidap penyakit batuk kering dan dimasukkan ke HUKM sejak 11 Jun
lepas bagi menerima rawatan.
Jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al Najihin, Bandar
Sri Pemaisuri di sini sebelum dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam
Bukit Tandang, Petaling Jaya selepas Maghrib.
Osman telah berkecimpung dalam dunia seni lebih 30 tahun dan antara
filem yang dibintanginya ialah “Kantoi”, “Senario The Movie Episod 1″,
“Tentang Bulan” dan “Man laksa”.
Norhidayah berkata sebelum menghembuskan nafas terakhir arwah bapanya
ada berpesan agar menjaga ibu mereka dengan baik selain sering
memberitahu bermimpikan rakan artisnya yang telah meninggal dunia.
“Ayah ada memberitahu dia kata dia pernah bermimpi (berjumpa
allahyarham) M.Rajoli dan Zami Ismail dan mereka berbual sekali. Sebelum
meninggal dunia ayah sering bermanja dengan kami dan berbual-bual,”
katanya.
Beliau tidak menduga gurauan bapanya sebelum ini merupakan kali yang terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Sementara itu, penyanyi Siti Nordiana Alias atau dikenali dengan nama
Nana berkata, beliau mengenali Osman sebagai seorang pelawak yang
sangat sporting.
“Sepanjang Nana kenal dia, dia banyak beri tunjuk ajar pada Nana, dan
Nana pun rapat dengan keluarganya, Nana rasa arwah seorang yang sukar
dicari ganti,” katanya yang ditemui ketika menziarah di kediaman
allahyarham di Bandar Sri Permaisuri. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan