Jumaat, 8 Jun 2012

Tekad benam Portugal


SERIUS...pemain Jerman mendengar arahan Loew semasa sesi latihan.
SERIUS...pemain Jerman mendengar arahan Loew semasa sesi latihan.
GDANSK (Poland): Jerman membuka kempen Euro 2012 dengan harapan untuk menewaskan Portugal buat kali ketiga berturut-turut pada pusingan akhir kejohanan utama dengan kapten pasukan, Philipp Lahm menegaskan pasukannya perlu mempamerkan kemampuan sebenar mereka, awal pagi esok.
Jerman yang juga juara Eropah tiga kali menyingkirkan Portugal pada suku akhir empat tahun lalu di Euro 2008 serta turut menewaskan lawan dalam penentuan tempat ketiga pada Piala Dunia 2006.

Lahm bagaimanapun mengakui keputusan itu hanya memberikan kesan yang minimum kepada pertemuan Kumpulan B itu namun permulaan yang bagus adalah penting dengan naib juara Piala Dunia 2010, Belanda dan Denmark masih menanti selepas ini.
“Tekanan semakin menebal, kami sudah membina pasukan bagi menghadapi saat ini selama dua tahun. Ini adalah masa untuk mengharunginya,” kata pemain berusia 28 tahun yang mengambil tugas selaku kapten daripada Michael Ballack sebelum Piala Dunia 2010.

“Kami mempunyai skuad yang hebat, kami cuma perlu mempamerkan kemampuan yang dimiliki.” Skuad Jerman terbang ke Lviv, Ukraine, semalam dengan penolong jurulatih, Hansi Flick mengakui kemenangan amat penting untuk melepasi peringkat kumpulan yang dianggap 'Kumpulan Maut' itu.

“Kemenangan adalah sentiasa penting bagi perlawanan pertama terutamanya dalam kumpulan seperti kami,” katanya.
“Perlawanan seterusnya adalah menentang Belanda yang kemungkinan mencerahkan lagi peluang dan kami berharap mampu menjuarai kumpulan ini.

“Ia dipanggil 'Kumpulan Maut' dan saya memang berasakan ia adalah yang paling sukar dalam kejohanan ini, kami perlu sentiasa berwaspada sejak awal lagi dan beraksi dengan baik kerana kami yakin mampu melakukannya.” Kekalahan mengejut 3-5 kepada Switzerland bulan lalu selepas tewas 1-2 kepada Perancis pada Februari memperlihatkan Jerman mempunyai kelemahan pertahanan yang mungkin boleh dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Portugal. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan